Adakah kita sudah MERDEKA????? Atau hanya opera hidup yang hanya satu permainan.....

Friday, 16 December 2011

Bencana Globalisasi

Bencana globalisasi - Pegangan ekonomi rakyat tempatan akan terjejas


Terdapat banyak pengertian mengenai globalisasi yang berbeza diantara kita. Kuasa globalisasi yang paling asas ialah dari segi ekonomi, kerana apabila kita bercakap tentang globalisasi kita merujuk kepada globalisasi ekonomi dan bagaimana ia boleh mempengaruhi budaya, politik dan lain-lain. Makna sebenar globalisasi ialah penghapusan halangan ekonomi antara sebuah negara dengan negara lain pada kadar yang amat pantas terutamanya dalam tiga aspek iaitu perdagangan, kewangan dan pelaburan.
Halangan perdagangan ini dibentuk oleh kebanyakan negara membangun selepas merdeka termasuk Malaysia melalui pengenalan dasar-dasar bagi meningkatkan ekonomi, syarikat dan institusi kewangan tempatan. Dari segi pelaburan dan kewangan, sebahagian besar kerajaan termasuk di negara-negara kaya memiliki dasar yang mengawal pengaliran mata wang keluar atau masuk dan sama ada mata wang tempatan boleh diperdagangkan di luar negara. Ia adalah sistem yang digunakan selepas Perang Dunia Kedua dahulu yang menetapkan mata wang dan bank pusat menentukan sama ada wang boleh keluar atau tidak. Ia adalah kawalan modal dan satu perkara biasa. Globalisasi berlaku dalam ketiga-tiga aspek tadi iaitu perdagangan, kewangan dan pelaburan apabila dasar-dasar kerajaan yang mengawal ekonomi asing daripada mempengaruhi ekonomi tempatan semakin longgar.
Pada masa sekarang, sebahagian besar dasar-dasar ekonomi sesebuah negara dipengaruhi dengan cepat oleh apa yang berlaku di negara lain. Bilakah globalisasi ini bermula dan sejauh mana ia akan pergi?



Sebahagian daripada proses globalisasi berlaku akibat perubahan teknologi. Sebagai contoh teknologi komputer yang membolehkan wang dipindahkan, mata wang diniagakan atau saham dibeli dengan mudah. Selain perkembangan teknologi yang pesat, faktor kedua yang mengembangkan globalisasi ke seluruh dunia ialah keruntuhan sistem Bretton Woods yang dibentuk selepas Perang Dunia Kedua.Pada tahun 1972 sistem ini runtuh menyebabkan mata wang dunia boleh diapungkan antara satu sama lain. Ia kemudiannya membawa kepada penghapusan kawalan modal dan liberalisasi kewangan.Pada tahap ini, pasaran saham pula turut diglobalkan dengan pelabur-pelabur asing boleh membawa wang keluar dan masuk dari sesebuah pasaran.Dengan kadar mata wang yang tidak tetap dan pasaran modal yang terbuka, spekulasi mula muncul dan seterusnya manipulasi mata wang dan saham.Ia kemudian membawa kepada peranan tiga buah institusi yang benar-benar menyebarkan globalisasi ke seluruh dunia iaitu Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).Institusi-institusi ini membantu menurunkan hala-ngan ekonomi dan membentuk dasar-dasar yang membuka negara-negara membangun kepada ekonomi global, terutamanya dalam 20 tahun terakhir ini.


Adakah benar globalisasi hanya memberi faedah kepada rakyat di negara-negara maju?


Bagi syarikat-syarikat di negara kaya, glo-balisasi buat masa sekarang adalah baik untuk mereka. Sebab itu mereka bersama-sama melobi kerajaan masing-masing supaya menentukan dasar-dasar ekonomi dan kewangan di negara membangun.Syarikat-syarikat ini yang amat besar dan kaya akan sentiasa bertambah besar dan kaya kerana mereka terus bergabung dan mengambil alih syarikat lain.Sekarang, kerana keuntungan di negara mereka adalah terhad, mereka mahu datang ke negara-negara membangun dan menjual barangan mereka, melabur atau menubuhkan syarikat di negara membangun.Mereka sebenarnya telah mempengaruhi kerajaan mereka supaya membentuk dasar IMF bagi membuka ekonomi kita supaya mereka memperoleh lebih banyak keuntungan di negara kita.Selain itu, mereka turut mempengaruhi kerajaan mereka supaya membentuk dasar WTO, memecahkan halangan ekonomi di negara membangun yang melindungi syarikat dan ekonomi tempatan.Sebagai contoh, krisis kewangan yang berlaku lebih tiga tahun lalu sebahagian besarnya adalah akibat dasar liberalisasi kewangan yang saya katakan tadi.Kita dapat lihat bahawa ada aspek dalam globalisasi ekonomi yang bergantung kepada monopoli sumber kewangan atau pasaran seperti yang dilakukan oleh dana lindung nilai di Thailand.Ia meninggalkan kesan buruk kepada negara yang dimanipulasi tetapi memberi faedah kepada mereka yang membuat keuntungan.Jadi untuk menjawab soalan anda, saya tidak boleh katakan globalisasi menguntungkan rakyat negara kaya secara keseluruhannya kerana di AS pun turut diketahui bahawa gaji sebenar pekerja biasa di negara itu tidak meningkat sejak beberapa tahun lepas tetapi pemilik syarikat kewangan dan spekulator kewangan membuat keuntungan besar.


Berdasarkan teori Barat, globalisasi akan membawa kepada kemakmuran dan tahap kehidupan yang lebih tinggi, adakah ini benar?


 Masalah teori ini ialah ia biasanya mengatakan jika anda menyertai globalisasi maka anda mesti mendapat faedah. Ia adalah tidak benar kerana ia bergantung kepada sesebuah negara, sama ada negara itu boleh berdagang atau tidak.Kita ambil Malaysia sebagai contoh. dari aspek perdagangan kita telah memperoleh faedah daripada globalisasi tetapi kita juga menerima akibat buruk. Dari satu segi, bila kita mengeksport komoditi kadang-kadang harganya jatuh amat rendah seperti pada masa sekarang.Tetapi pada masa yang sama, ia juga pernah memuncak pada satu masa dahulu. Minyak sawit pernah mencecah RM2,500 (setiap tan) dahulu walaupun sekarang ia mungkin RM800 atau RM900.Kita memperoleh faedah kerana kita adalah sebuah negara perdagangan. Sekarang kita juga berdagang barangan elektronik yang telah membawa keuntungan kepada negara dan pekerjaan rakyat. Jadi dari satu segi anda boleh kata globalisasi dari sudut liberalisasi perdagangan membawa faedah kepada negara seperti Malaysia.Tetapi kepada negara lain terutama negara-negara miskin di Afrika, keadaan mungkin berbeza. Industri mereka masih lemah dan eksport utama mereka hanyalah komoditi.Jika tarif diturunkan dan barangan import yang murah dibawa masuk, mereka mungkin mendapat faedah dari segi harga pengguna yang rendah, tetapi ia boleh mengakibatkan syarikat tempatan gulung tikar kerana tidak mampu bersaing dengan barangan import yang lebih murah dan rakyat negara itu kehilangan pekerjaan.Kebanyakan negara Afrika tidak boleh mengeksport ke-rana eksport utama mereka hanyalah komoditi yang harganya terus-menerus menurun.Globalisasi bagi negara-negara seperti itu membawa kesan buruk yang lebih banyak kerana mereka akan mengumpulkan hutang akibat import yang masuk de-ngan banyak sedangkan eksport tidak boleh keluar. Lebih buruk lagi jika IMF masuk untuk menyelamatkan mereka dengan dasar-dasar yang tidak sesuai dan membawa bencana ke atas negara membangun.Secara ringkas, globalisasi ini jika kita melakukannya dengan betul, ia akan memberi keuntungan tetapi jika tidak dilakukan dengan betul, ia akan membawa kerugian.Malaysia bernasib baik dari segi perdagangan kerana kita bukan sahaja boleh mengeksport komoditi tetapi juga barangan elektronik, tekstil dan lain-lain lagi kerana pelabur asing masuk ke Malaysia selepas hala-ngan diturunkan.Bagaimanapun kita tidak begitu beruntung dari segi kewangan, mungkin kerana kita membukanya terlalu luas sehingga ringgit dibenarkan dijual di Singapura, London, Eropah dan tempat lain, membolehkan mata wang kita itu dispekulasi dan dimanipulasi.Bila kerajaan mengenakan dasar kewangan (kawalan mata wang dan modal terpilih) pada September 1998, apa yang baik ialah ia menghalang mata wang kita daripada diperdagangkan dan dimanipulasi di luar negara.


Adakah globalisasi akan mempengaruhi senario politik tempatan?

Politik tempatan boleh dipengaruhi dari segi pengaliran maklumat melalui internet dan lain-lain. Secara ringkasnya, dunia menjadi lebih dekat dan kita boleh mendapatkan lebih banyak pengetahuan.
Tetapi aspek negatifnya ialah kita akan mempunyai terlalu banyak maklumat sehingga kita tidak tahu yang mana satu maklumat betul dan yang mana satu salah.
Satu lagi masalah ialah kita hanya menerima maklumat, dan tidak menyebarkan maklumat kepada dunia. Keseimbangan tidak ada dalam globalisasi ke-rana pandangan kita tidak boleh meninggalkan kesan terhadap negara maju tetapi pandangan mereka boleh memberi kesan kepada kita

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...